Selasa, 20 Disember 2016

ATM 2000

Sementara itu, di Stadium KLFA di Cheras, Tentera mencatatkan kemenangan pertama musim ini apabila mengejutkan pasukan pilihan, Johor FC 2-0.

Johor FC yang pada awalnya dijangka tidak menghadapi masalah untuk membawa pulang mata penuh, gagal menunjukkan persembahan sebenar seperti diharapkan untuk membuka ruang buat Tentera memanfaatkan peluang.

Di sebalik gahnya nama Johor FC dengan dibarisi empat pemain dari Sabah, Tentera menguasai permainan sejak awal dan pada minit ke-15 berhasil memperoleh gol sulungnya menerusi gerakan cantik yang bermula dari sayap kiri.

Mohd. Zahid Hashim yang menerima hantaran lintang di dalam kotak penalti terus menanduk kepada rakan penyerangnya, Saifullizan Hashim yang terus merembat kencang ke penjuru kiri gol Johor pada minit ke-15.

Walaupun ketinggalan, anak buah Bruce Stowell seperti tidak berazam untuk mencari gol penyamaan apabila gagal menyusun gerakan kemas dengan hantaran-hantaran liar kepada rakan di bahagian serangan.

Pasukan dari selatan itu mendapat dua peluang terbaik untuk menghasilkan gol pada minit ke-20 dan 40, masing-masing menerusi penyerang utamanya, Sheikh Ahmad Redzuan dan Azni Ariffin, tetapi hanya dua percubaan itu yang benar-benar mendebarkan kubu tuan rumah sepanjang perlawanan tersebut.

Pada babak kedua, Stowell membuat tiga pertukaran termasuk menggantikan Md. Shahrul Ismail dengan Harun Laban, namun bekas penyerang Sabah itu gagal menerima sokongan rakan-rakan dari bahagian tengah.

Kealpaan benteng Johor FC pada minit-minit terakhir sekali lagi mengundang padah apabila pemain gantian, Mohd. Zain Roslan membuat hantaran lintang dari sebelah kiri, dan umpanan cantiknya berjaya disempurnakan dengan tandukan kemas Rosli Dollah, pemain yang turut dimasukkan pada babak kedua untuk gol kedua Tentera.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0429&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4TNJSPiJt © Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 1 Disember 2016

ATM kekal di Liga Premier

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
PEMAIN ATM (jersi biru) pastinya lega kerana mereka masih kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan bagi menggantikan tempat pasukan DRB-Hicom yang menarik diri.

SKUAD Angkatan Tentera Malaysia (ATM) lega kerana kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Mereka seharusnya mengucapkan terima kasih kepada DRB-Hicom FC yang menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan ia telah membuka ruang buat ATM untuk kembali ke Liga Premier.

ATM yang menamatkan saingan di tempat ke-11 pada kempen Liga Premier 2016 telah diturunkan pangkat ke Liga FAM musim depan bersama-sama pasukan di tangga tercorot, Sime Darby.

Pada saingan musim ini ATM sekadar mengumpul 15 mata menerusi empat kemenangan, tiga seri dan 15 kekalahan.

Kedudukan ATM untuk kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam semalam.

Menurut Kevin, ATM akan menggantikan DRB-Hicom yang menarik diri daripada saingan Liga Premier musim depan.

Jelas Kevin, FMLLP telah mengusulkan pertimbangan serta kelulusan melalui resolusi kepada Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan mereka telah memutuskan untuk mengekalkan ATM bersaing dalam Liga Premier musim depan.

Katanya, situasi itu sama seperti tahun sebelumnya yang mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meluluskan untuk mengekalkan Kuala Lumpur yang berada di tangga ke-11 Liga Premier 2015 bersaing dalam Liga Premier 2016.

“Pengganti kepada DRB-Hicom adalah ATM kerana mereka berada di kedudukan tangga ke-11 Liga Premier musim ini.

“Kaedah ini sama seperti FAM mengekalkan Kuala Lumpur yang turut berada di tangga ke-11 dalam saingan Liga Premier musim lalu yang mana wakil Singapura, Lions XII tidak lagi bersaing di Liga M tahun ini.

“Jadi, Ahli Lembaga Pengarah FMLLP telah memutuskan ATM menjadi pasukan pengganti kepada DRB-Hicom. Oleh yang demikian, pasukan ATM dikehendaki membuat pengesahan penyertaan secara rasmi kepada FMLLP pada atau sebelum pukul 5 petang, Jumaat depan (9 Disember),” kata Kevin ketika dihubungi Kosmo!, semalam.

Kosmo! semalam melaporkan FMLLP telah mengesahkan DRB-Hicom bertindak menarik diri daripada kancah Liga M musim depan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan tetapi kelab itu akan memberikan fokus kepada aspek pembangunan bola sepak.

Ketika ditanya kemungkinan aksi play-off bakal diadakan untuk mencari pengganti DRB-Hicom, Kevin menegaskan bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlaku.

“Seperti saya katakan, kaedah untuk menentukan pengganti DRB-Hicom adalah sama seperti tahun lalu dan keputusan telah dicapai yang mana ATM akan terus kekal dalam saingan Liga Premier musim depan,” ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4RdMoxudQ Hakcipta terpelihara