Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
PEMAIN ATM (jersi biru)
pastinya lega kerana mereka masih kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan
bagi menggantikan tempat pasukan DRB-Hicom yang menarik diri.
SKUAD Angkatan Tentera Malaysia
(ATM) lega kerana kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan.
Mereka seharusnya mengucapkan
terima kasih kepada DRB-Hicom FC yang menarik diri daripada saingan Liga
Malaysia (Liga M) musim depan dan ia telah membuka ruang buat ATM untuk kembali
ke Liga Premier.
ATM yang menamatkan saingan di
tempat ke-11 pada kempen Liga Premier 2016 telah diturunkan pangkat ke Liga FAM
musim depan bersama-sama pasukan di tangga tercorot, Sime Darby.
Pada saingan musim ini ATM
sekadar mengumpul 15 mata menerusi empat kemenangan, tiga seri dan 15
kekalahan.
Kedudukan ATM untuk kekal
bersaing dalam Liga Premier musim depan disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif
Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam
semalam.
Menurut Kevin, ATM akan
menggantikan DRB-Hicom yang menarik diri daripada saingan Liga Premier musim
depan.
Jelas Kevin, FMLLP telah
mengusulkan pertimbangan serta kelulusan melalui resolusi kepada Ahli Lembaga
Pengarah FMLLP dan mereka telah memutuskan untuk mengekalkan ATM bersaing dalam
Liga Premier musim depan.
Katanya, situasi itu sama seperti
tahun sebelumnya yang mana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meluluskan
untuk mengekalkan Kuala Lumpur yang berada di tangga ke-11 Liga Premier 2015
bersaing dalam Liga Premier 2016.
“Pengganti kepada DRB-Hicom
adalah ATM kerana mereka berada di kedudukan tangga ke-11 Liga Premier musim
ini.
“Kaedah ini sama seperti FAM
mengekalkan Kuala Lumpur yang turut berada di tangga ke-11 dalam saingan Liga
Premier musim lalu yang mana wakil Singapura, Lions XII tidak lagi bersaing di
Liga M tahun ini.
“Jadi, Ahli Lembaga Pengarah
FMLLP telah memutuskan ATM menjadi pasukan pengganti kepada DRB-Hicom. Oleh
yang demikian, pasukan ATM dikehendaki membuat pengesahan penyertaan secara
rasmi kepada FMLLP pada atau sebelum pukul 5 petang, Jumaat depan (9 Disember),”
kata Kevin ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Kosmo! semalam melaporkan FMLLP
telah mengesahkan DRB-Hicom bertindak menarik diri daripada kancah Liga M musim
depan atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan tetapi kelab itu akan
memberikan fokus kepada aspek pembangunan bola sepak.
Ketika ditanya kemungkinan aksi
play-off bakal diadakan untuk mencari pengganti DRB-Hicom, Kevin menegaskan
bahawa perlawanan tersebut tidak akan berlaku.
“Seperti saya katakan, kaedah
untuk menentukan pengganti DRB-Hicom adalah sama seperti tahun lalu dan
keputusan telah dicapai yang mana ATM akan terus kekal dalam saingan Liga
Premier musim depan,” ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4RdMoxudQ
Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan